Keena Zone Chat Room

Monday, December 7, 2009

Keena@Kosmo

Elemen fesyen 'ganas'

Bagi Keena, jaket kulit lengan panjang atau tidak berlengan merupakan item wajib digayakan untuk menzahirkan gaya rock.


IRAMA muzik rock mula bersarang dalam dirinya sejak usianya lapan tahun lagi. Semuanya gara-gara kelima-lima abangnya pada waktu itu terlalu obses dengan lagu-lagu rock.

Semua genre muzik rock dilayan tidak kira yang dimainkan oleh grup rock tempatan mahupun antarabangsa. Boleh dikatakan saban hari dan waktu, irama rock sentiasa berkumandang daripada corong radio di rumahnya.

KEENA hanya memakai pakaian sebegini ketika menjayakan persembahan pentas sahaja.

Memandangkan dirinya sentiasa digelumangi muzik rock secara tidak langsung, Suriana Ab. Wahab (Keena), 23, yang sememangnya minat menyanyi mahir melantunkan lagu rock. Lenggok, lontaran suara dan gaya rock mampu dilakukan dengan baik. Apatah lagi keserasiannya dengan muzik berkenaan terserlah apabila remaja berkulit cerah itu memiliki suara serak-serak basah dan personaliti yang lincah.

Namun, kecenderungannya menyanyikan lagu rock bukan sekadar suka-suka. Sebaliknya anak bongsu daripada lapan orang adik-beradik itu memberanikan diri melangkah dalam bidang seni suara. Ini terbukti sebaik sahaja menginjak usia 10 tahun Keena mencuba nasib dalam pertandingan nyanyian Bintang Kecil.


Biarpun gagal meraih tempat pertama, anak kelahiran Tanah Merah, Kelantan ini melahirkan kegembiraan dan rasa teruja. Ini kerana bukan lagu kanak-kanak, pop atau balada yang didendangkan. Sebaliknya, Keena begitu yakin memilih lagu rock Inggeris, genre yang mungkin asing bagi kanak-kanak.

"Pengalaman menyanyikan lagu rock dalam pertandingan besar seperti itu suatu memori manis yang tersemat rapi dalam kamus hidup saya. Walaupun pada peringkat awal saya teragak-agak untuk menyanyikan lagu rock, namun berkat sokongan keluarga khususnya abang-abang saya, saya nekad memilih lagu rock.


RAMBUT rona merah bagaikan sinonim dengan selebriti penyanyi Mulan Jameela dan Pink.


"Rasanya kalau ditakdirkan saya memilih menyanyikan genre muzik lain, barang kali saya tidak dapat melakukan persembahan yang baik (tergelak). Bertitik-tolak daripada pertandingan itu minat pada muzik rock semakin memuncak. Rata-rata undangan persembahan mahupun pertandingan nyanyian yang disertainya pasti mendorong Keena memilih lagu-lagu rock," tutur Keena yang juga merupakan anak didik penyanyi rock, Awie, bagi program realiti Mentor, musim ketiga.

Muzik dan fesyen bersatu


KEENA berpendapat, fesyen yang digayakan perlu selari dengan jalur muzik yang dibawanya.


Bicara kami pada petang itu bukan sekadar omongan mengenai cintanya pada muzik rock. Bersua muka dengan bekas pelajar Sekolah Menengah Dato' Mahmood Paduka Raja (2), Tanah Merah ini dengan lebih dekat, Keena mengakui sanggup membelanjakan sejumlah wang untuk membeli pakaian yang bersesuaian dengan imej rock.

Setiap bulan bagaikan rutin wajib bagi Keena mengunjungi pusat beli-belah Times Square dan Sungei Wang Plaza, Kuala Lumpur. Tujuan utamanya hanya untuk membeli stok pakaian baru. Soal harga tidak pernah menjadi taruhan. Paling penting baju, seluar dan aksesori yang dipilih seiring dengan muzik yang dibawanya.




"Seperti irama muzik lain, rock juga mempunyai gaya fesyen tersendiri. Bagi saya muzik rock tidak ketinggalan menawarkan imej fesyen yang menarik untuk digayakan. Tidak dinafikan di luar negara sebahagian kelompok peminat rock tampil bergaya dengan imej yang agak keterlaluan seperti stail rambut pelik pelbagai warna, mekap mata dan gincu rona gelap serta bertindik hampir keseluruhan wajah.

"Itu imej rock di luar negara. Sebagai rakyat Malaysia dan orang Melayu yang terdidik dengan budaya Timur saya berpendapat tidak wajar meniru seratus-peratus fesyen rock di luar negara. Sebab itu, sewaktu membeli-belah, saya menitikberatkan soal rekaan dan corak baju. Ini penting supaya tidak terbeli pakaian yang menampilkan perkataan atau logo yang bertentangan dengan landasan bangsa dan agama," tambah Keena yang bakal menjadi hos bagi sebuah rancangan berkaitan penyanyi rock tanah air.

Jaket kulit item wajib


ANTARA koleksi aksesori rona gelap milik Keena.


Bercerita lanjut mengenai fesyen rock, Keena memberitahu jaket kulit lengan panjang atau tidak berlengan merupakan item wajib digayakan. Jaket kulit yang terdiri daripada rona hitam, putih, coklat dan biru itu akan dipadankan dengan baju T, seluar denim atau gaun kembang ala Harajuku.

Katanya, pemilihan jaket kulit sudah memadai untuk menyerlahkan imej rock, di samping padanan aksesori yang bercorak ganas dan warna gelap. Lagipun, bagi Keena, jaket kulit bukan sekadar sesuai dipakai ketika menjayakan persembahan pentas, pada masa yang sama ia sesuai digayakan pada apa jua majlis asalkan mempraktikkan konsep suai dan padan yang tepat.


SEPATU tinggi bersesuaian dengan imej rock.


Sementara itu, pereka fesyen tempatan yang semakin mendapat perhatian, Hatta Dolmat menyatakan fesyen rock tidak pupus dek zaman. Biarpun industri fesyen menerima lambakan fesyen tetapi fesyen rock masih relevan untuk diaplikasikan. Cuma cara pemakaian dan tata rias fesyen rock pada hari ini perlu digayakan mengikut trend terkini.

"Namun melihat perkembangan fesyen rock di sini, saya perhatikan generasi muda yang tidak meminati atau terlibat dalam muzik rock juga kini tidak ragu-ragu untuk memilih fesyen konsep rock khususnya remaja perempuan. Ini kerana menerusi fesyen rock anda masih berpeluang tampil cantik, anggun dan comel.

"Misalnya, penampilan pelakon dan penyanyi Liyana Jasmay. Kombinasi gaun kembang separa lutut bersama jaket kulit berjaya menyerlahkan imej rock yang comel. Begitu juga gaya punk rock yang cukup sinonim dengan penyanyi antarabangsa Avril Lavigne. Dia kerap memadankan jaket kulit bersama seluar jean atau skirt mini berkotak-kotak (ala skirt Scotland)," ulas Hatta yang turut menjelaskan sepatu but tinggi, aksesori ranggi dan aplikasi solekan yang tepat juga dapat menyerlahkan fesyen rock yang menarik.



0 comments: